BANGI, 21 Januari – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengumumkan pemberian Geran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI bernilai RM10,000 kepada setiap kawasan Parlimen bagi melaksanakan program berkaitan STI.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata inisiatif julung kali itu akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri kepada pejabat Ahli Parlimen seluruh negara.
Peruntukan dana tersebut dijangka diagihkan pada separuh pertama tahun ini.
“Geran ini akan disalurkan kepada semua Ahli Parlimen, tanpa mengira parti, kecuali Menteri dan Timbalan Menteri. Ia bertujuan memperkukuh penyertaan masyarakat dalam program STI. Dana ini juga akan diaudit untuk memastikan ia digunakan mengikut objektif yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu MOSTI 2025, di sini.
Tambah Lih Kang, geran tersebut boleh digunakan untuk pelbagai program, seperti aktiviti berkaitan STI untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, atau inisiatif melibatkan komuniti setempat berkaitan dengan STI.