fb fb fb fb fb

MOSTI pastikan dasar infrastruktur AI, diterima

Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR, 14 Jun- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memastikan infrastruktur, dasar dan insentif dalam menggalakkan pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di negara ini dapat disediakan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, usaha itu selaras dengan nilai ekonomi MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang menyokong pertumbuhan industri dan inovasi berasaskan digital.

"Usaha ini akan mencipta peluang pekerjaan dan juga membangunkan kemahiran tenaga kerja tempatan bagi memacu pembangunan dan penggunaan AI untuk ekonomi dan sosial Malaysia," katanya ketika berucap dalam Seminar Memperkasa Komuniti Dengan AI: Membuka Potensi Melalui Teknologi di ibu negara.

Seminar itu menyediakan platform untuk berinteraksi selain membolehkan peserta bertukar-tukar idea, menjalin kerjasama serta meneroka peluang baru merentas pelbagai sektor.

Ia dihadiri kira-kira 200 peserta dan dianjurkan selaras dengan peralihan negara kepada ekonomi digital yang menyokong beberapa pelan tindakan nasional termasuk Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI