fb fb fb fb fb

MOSTI Laksana Kajian Penggantian Reaktor Triga Puspati

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini sedang melaksanakan Kajian Teknikal Pelan Penggantian Reaktor TRIGA PUSPATI melalui agensi Nuklear Malaysia.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang,kajian berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN 2030), yang bertujuan untuk memperkukuh pembangunan teknologi nuklear di Malaysia.

Menerusi inisiatif ini, MOSTI yakin negara dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import pelbagai jenis radioisotop yang digunakan dalam sektor perubatan, industri, dan biosains.

"Mengurangkan kebergantungan import luar negara terhadap pelbagai jenis radioisotop bukan sahaja memberi impak positif kepada sektor perubatan, industri dan biosains, tetapi juga mampu menyumbang kepada peningkatan pengetahuan saintifik serta inovasi berteknologi tinggi.

"Ini seterusnya akan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, di Parlimen hari ini.

Chang turut menambah bahawa kajian ini akan menilai kesan sosio-ekonomi Projek Reaktor Penyelidikan Pelbagai Guna, termasuk kos pembinaan, operasi, keselamatan, sekuriti, dan kawalan penggunaan teknologi nuklear di Malaysia.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD