fb fb fb fb fb

MOSTI bekerjasama rentas kementerian perkasa aspek bioinovasi

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 November- Langkah lebih proaktif terus dilaksana ke arah merealisasikan Malaysia sebagai peneraju bidang bioinovasi, khususnya dalam bioteknologi pertanian dan keselamatan makanan.

Sehubungan itu, Menteri Sains, Tekonologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang mengambil langkah mempergiat kolaboratif dengan pelbagai pihak, jabatan serta agensi awam dan swasta.

Ini terutama dalam memperluas penggunaan bioteknologi, seiring matlamat yang digariskan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (NBP 2.0) yang menumpukan usaha memajukan sains, teknologi dan inovasi sekali gus sebagai langkah menangani isu keselamatan dan keterjaminan makanan di negara ini.

"Saya harap kita dapat menggunakan teknologi untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi khususnya dalam menyelesaikan aspek keselamatan makanan. Memang usaha ini, menjadi pemangkin kepada semua itu dan kita nak selesaikan isu berkaitan dengan kerjasama rentas kementerian serta agensi.

Maka, kita ada bioekonomi daripada MOSTI, kita ada MARDI juga untuk pertanian. Kita jalinkan pelbagai kerjasama dengan pihak berkaitan," kata Chang dalam sidang media sebelum itu merasmikan Simposium Bioteknologi Kebangsaan 2023 di Putrajaya. 

Dalam ucapannya, beliau berharap simposium bertemakan 'Memangkin Bioteknologi untuk Keselamatan Makanan', dapat membantu MOSTI merencanakan dasar dan pelaksanaan program dengan lebih berkesan.

Simposium berlangsung selama dua hari sehingga esok.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM