fb fb fb fb fb

Monopoli warga asing: Saifuddin gesa semua pihak main peranan

Foto Hiasan /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Mac - Semua pihak perlu tampil melibatkan diri bagi menangani isu penguasaan warga asing dalam rantaian perbekalan sayur di negara ini.

Jelas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, ia termasuklah dengan melakukan tindakan komprehensif daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ini bukan pendekatan tuding jari. Saya setuju bahawa sampai masanya untuk suatu tindakan menyeluruh membabitkan semua agensi kawal selia untuk melihat perkara ini bukan secara 'piecemeal'.

"Isu bekalan sayur dikuasai oleh pendatang asing, dia lebih daripada itu.. sebab itu perlu tengok perkara ini secara menyeluruh tentang penguasaan warga asing dalam sektor disebut tadi", katanya demikian
pada Sidang Media Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di Putrajaya pada Selasa.

Tambah beliau, satu perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.

Terdahulu, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan isu terbabit perlu ditangani Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Ini kerana usaha untuk menangani isu berkaitan harus dirujuk dengan dua kementerian terbabit.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD