Mohammed Ridha dilantik sebagai Setiausaha baharu Kerajaan Negeri Johor

Pegawai Kewangan Negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Johor yang baharu/ FOTO FB The Royal Johor

JOHOR BAHRU, 20 Februari – Pegawai Kewangan Negeri (PKN)Johor, Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri
(SUK) Johor yang baharu di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene,di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir diangkat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor baharu di Istana Bukit Serene.
  • Beliau menggantikan Datuk Asman Shah Abd Rahman yang bersara wajib.
  • Ridha berpengalaman luas dalam pentadbiran negeri sejak 1995, pernah memegang beberapa jawatan penting daerah dan PTG.
  • Majlis disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail; pelantikan PKN baharu juga diumumkan.

Menerusi hantaran di laman Facebook The Royal Johor, beliau menggantikan Datuk Asman Shah Abd Rahman yang bersara wajib, selepas berkhidmat sebagai SUK Johor ke-25, sejak Julai lalu.

Berusia 53 tahun, Datuk Mohammed Ridha mempunyai pengalaman perkhidmatan yang luas dalam pentadbiran negeri dan memulakan kerjayanya sebagai Penolong
Pentadbir Tanah Johor Bahru, pada tahun 1995.

Beliau juga sebelum ini pernah memegang tanggungjawab sebagai Pengarah Pejabat Tanah dan Penggalian (PTG) Johor dan Pegawai Daerah Johor Bahru serta Kota Tinggi, sebelum dilantik sebagai PKN, Januari 2024.

Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi, Sumpah Jawatan dan Sumpah Taat Setia disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini, hari ini.

Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu
Bakar Al-Haj.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Turut berlangsung dalam majlis sama, pelantikan Datuk Mohd Noorazam Osman sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor yang baharu menggantikan Datuk Mohammed Ridha.