KLANG, 24 Disember- Datuk Seri Mohamad Sabu masih mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) bagi sesi 2023-2026.
Keputusan sebulat suara itu diumumkan dalam Konvensyen Parti Amanah Nasional (Amanah) 2023 yang berlangsung di sini.
Keputusan itu diumumkan Speaker Amanah Azhar Shukur setelah diperoleh daripada mesyuarat 27 ahli Jawatankuasa Kepimpinan Amanah Nasional yang baru dilantik dari pukul 5.30 petang hingga pukul 7.00 malam tadi.
Pemilihan secara sistem EVoting telah diadakan melibatkan 1,003 perwakilan bagi memilih speaker, timbalan speaker dan dua juruaudit serta 27 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional bagi sesi 2023/2026.
Sementara itu Timbalan Presiden Amanah disandang Naib Presiden terdahulu iaitu Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Tiga Naib Presiden Amanah baharu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Mariah Mahmud dan Adly Zahari.
Seramai 1003 perwakilan Amanah Nasional seluruh negara mengundi menerusi sistem e-voting bermula kira-kira pukul 4.30 petang dan berakhir kira-kira pukul 5.00 petang.
Dalam ucapan penangguhan Mohamad selaku Presiden Amanah meminta pemimpin parti yang akan memegang jawatan pimpinan tertinggi berusaha menguatkan parti serta meneruskan kerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"Kekuatan Amanah bergantung kepada gabungan, jadi ini penting hubungan kita dengan PKR, DAP dan sekarang hubungan kita dengan BN serta parti-parti di Sabah dan Sarawak.
"Oleh itu pimpinan yang akan mewarisi pimpinan akan datang mesti cari jalan untuk kuatkan gabungan ini kerana sebarang keretakan dalam gabungan ini akan membawa padah kepada Amanah pada masa depan," katanya.