Mohamad Hasan ketuai delegasi Malaysia ke Permukiman AMM di Filipina

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Januari – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) dan mesyuarat berkaitan pada 28 hingga 29 Januari di Cebu City, Filipina.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai delegasi Malaysia ke Pemukiman AMM di Cebu City, Filipina.
  • Pemukiman AMM merupakan mesyuarat rasmi ASEAN pertama tahun ini di bawah Kepengerusian Filipina.
  • Menteri-Menteri Luar akan menyemak pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan isu serantau serta antarabangsa.
  • Penyertaan penuh pertama Menteri Luar Timor-Leste menandakan keanggotaan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN.

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan berkata Pemukiman AMM adalah mesyuarat rasmi pertama ASEAN bagi tahun ini di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Filipina.

Semasa sesi pemukiman itu, Pengerusi ASEAN dijangka membentangkan bidang keutamaan dan keberhasilan Kepengerusiannya melalui tema, ‘Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama’.

“Sesi Pemukiman tersebut memberi ruang kepada Malaysia dan negara anggota ASEAN lain untuk memperkukuh usaha bersama ke arah pembinaan Komuniti ASEAN yang terangkum, mampan dan berdaya tahan.

Khususnya dalam mendepani perubahan dan ketidaktentuan landskap geopolitik dan geoekonomi semasa,”menurut Wisma Putra.

Selain itu, Menteri-Menteri Luar ASEAN akan menyemak semula pelaksanaan keputusan daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober 2025.

Mereka juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theresa P Lazaro akan mempengerusikan pemukiman yang turut dihadiri semua Menteri Luar ASEAN dan wakil masing-masing, serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Tahun ini juga menandakan penyertaan pertama Menteri Luar Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas sebagai ahli penuh ASEAN, susulan kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, dengan tumpuan perbincangan tertumpu kepada usaha memperdalam kerjasama ASEAN dan meningkatkan hubungan dua hala Malaysia dengan negara-negara berkenaan.