KUALA LUMPUR, 15 Februari- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan lawatan rasminya ke Bandar Seri Begawan dan akan menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra berkata, Sultan Brunei dan Datuk Seri Mohamad akan membincangkan isu dua hala dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama dalam pertemuan itu.
"Menteri Luar telah menyatakan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei, temasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan
"Berhubung isu antarabangsa, Menteri Luar telah mengulangi bahawa konflik di Palestin bukan hanya isu agama tetapi adalah isu kemanusiaan sejagat dan menyeru semua pihak untuk mengambil tindakan secara bersama dan tegas untuk menghentikan peperangan yang berlaku di Gaza," kata kenyataan itu.
Semasa lawatan rasmi itu beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Dua, Datuk Seri Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof.
Kedua-duanya membincangkan perkembangan hasil Rundingan Pemimpin Tahunan ke-24 yang diadakan pada 3 Ogos tahun lalu di Putrajaya.
Kedua-dua pihak turut menyambut baik pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) pada suku kedua tahun ini bertujuan menggalakkan perkembangan sektor perdagangan dan pelancongan kedua negara.
Bagaimanapun ia merupakan lawatan sulung Mohamad Hasan ke Brunei sejak dilantik pada Disember tahun lalu dan tahun ini, kedua-dua negara akan meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik.
Brunei merupakan rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia di peringkat antarabangsa dan keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Malaysia-Brunei telah mencatatkan nilai perdagangan sebanyak RM9.31 bilion pada 2023.