fb fb fb fb fb

MOF, LADA perlu patuhi perjanjian pajakan tanah Hotel St. Regis Langkawi

Mas Ermieyati berkata Laporan PAC terhadap tindakan susulan LADA dan MOF bagi syor Laporan PAC berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah LADA dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Perjanjian pajakan tanah dan pindaan perjanjian antara pemegang saham dalam isu pajakan tanah Hotel St. Regis Langkawai perlu dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ia bagi memastikan Langkawi terus menjadi destinasi geo-pelancongan (geotoursim) utama di rantau ini sekali gus menjadi tumpuan pelancong dunia.

Katanya, Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) perlu memastikan perjanjian pajakan tanah dan pindaan perjanjian pemegang saham antara INR Sdn. Bhd dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sentiasa dipatuhi.

"Jawatankuasa ini telah dimaklumkan perjanjian antara pemegang-pemegang saham dimuktamadkan dan ditandatangani pada 10 Jun 2024, iaitu sehari sebelum PAC mengadakan lawatan kerja ke Pulau Langkawi pada 11 Jun 2024.

“MOF perlu segera memastikan tunggakan pajakan tanah dibayar dalam tempoh enam bulan selepas perjanjian ditandatangani.

“Rundingan mengenai pelan pemulihan komprehensif yang telah dimulakan INR Sdn Bhd dengan pihak Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan pihak Receiver and Manager (R&M), perlu segera dimuktamadkan bagi memastikan tunggakan pinjaman INR Sdn Bhd dapat dijelaskan kepada BPMB,” katanya.

Mas Ermieyati berkata Laporan PAC terhadap tindakan susulan LADA dan MOF bagi syor Laporan PAC berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah LADA dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, MOF hendaklah memastikan tindakan yang akan dilaksanakan terhadap hala tuju projek Perkampungan Tok Senik Resort, tidak akan melibatkan implikasi kewangan dan perundangan di pihak kerajaan.

"PAC juga berpandangan pengurusan Jeti Pelancongan Kuah yang dibina dengan kos RM7.3 juta perlu diuruskan sendiri oleh LADA atau melalui anak syarikatnya iaitu Langsura Geopark Sdn Bhd.

"Ini memandangkan peruntukan pembinaan jeti ini, daripada peruntukan kerajaan," katanya.

PAC juga menyeru pelbagai agensi dan jabatan kerajaan sama ada peringkat negeri atau pusat bersama-sama LADA dalam meningkatkan kemudahan pengangkutan feri penumpang.

"Ini bagi memastikan pelbagai segmen pelancong mendapat akses masuk ke Langkawi.

"Kelebihan pelancongan Langkawi adalah pada Hutan Geopark dan LADA perlu mengeksploitasi industri ini dengan lebih agresif di peringkat antarabangsa," tambahnya.

Susulan itu, LADA hendaklah lebih giat meneruskan libat urus bersama pihak berkaitan, dalam usaha melaksanakan program yang dirancang sekali gus mempromosi Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan kekal diiktiraf di mata dunia.

Pada 19 Mac, PAC mengemukakan lima perkara kepada MOF dan LADA untuk dilaksanakan bagi menyelesaikan isu pajakan Hotel St. Regis Langkawi dan projek Perkampungan Tok Senik Resort.

GRACE AISYAH KEDAYAN