KUALA LUMPUR, 28 Februari – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan agar Modul Pendidikan Rukun Negara diperluaskan ke semua tadika di seluruh negara, termasuk prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh pendidikan asas perpaduan sejak usia awal.
Menurutnya, modul tersebut kini diajar di Tabika Perpaduan bersama dua lagi modul khusus yang menekankan elemen kenegaraan dan nilai murni.
“Kita memang berharap Modul Rukun Negara ini dapat diperluaskan kepada semua taska dan tabika di seluruh negara, termasuk tabika swasta. Kita mahu ia dimasukkan dalam kurikulum bagi memastikan konsep perpaduan diterapkan sejak peringkat awal pendidikan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas program Cilik Perpaduan Kembali Ke Tabika dan Taska Perpaduan 2025, di sini
Tambah Ago Dagang, setakat ini, terdapat 1,781 Tabika Perpaduan dan 41 Taska Perpaduan di seluruh negara dengan lebih 35,000 murid berdaftar.
Dalam Belanjawan Madani 2025, kerajaan memperuntukkan RM5 juta untuk menaik taraf 119 Tabika Perpaduan serta RM33.73 juta bagi kemudahan pembelajaran seperti Starter Kit dan buku aktiviti murid.
Selain itu, sejumlah RM763,200 turut diperuntukkan bagi menambah baik akses internet di Tabika dan Taska Perpaduan.