Modi hargai persahabatan dengan Anwar, puji hubungan India-Malaysia

Modi hargai persahabatan dengan Anwar, puji hubungan India-Malaysia.

SERI KEMBANGAN, 7 Februari – Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengimbas hubungan persahabatannya yang telah lama terjalin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menghargai sambutan mesra yang diterimanya sempena lawatan rasmi ke negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Modi menghargai persahabatan lama dengan Anwar yang bermula sebelum Anwar menjadi Perdana Menteri.
  • Anwar menyambut Modi di lapangan terbang dan membawa beliau dengan kenderaan peribadi, menzahirkan keakraban dan penghormatan.
  • Modi memuji pengaruh budaya India di Malaysia, termasuk minat terhadap filem dan muzik India.
  • Modi menyampaikan ucapan perpaduan serta mendoakan kebahagiaan bagi perayaan Thaipusam, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Modi, persahabatannya dengan Anwar telah bermula sejak sebelum pemimpin Malaysia itu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut menyifatkan tindakan Datuk Seri Anwar yang hadir sendiri ke lapangan terbang untuk menyambutnya serta membawa beliau dengan kenderaan peribadi sebagai satu isyarat istimewa yang mencerminkan keakraban dan saling menghormati antara kedua-dua negara.

“Ini melambangkan kasih sayang dan rasa hormat beliau bukan sahaja terhadap India, tetapi juga kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa MINES (MIECC), hari ini.

Modi turut menyentuh hubungan erat pertukaran budaya antara India dan Malaysia, khususnya minat rakyat Malaysia terhadap filem serta muzik India.

Beliau berkata, budaya popular India mempunyai pengaruh yang meluas di Malaysia, termasuk lagu-lagu dan filem klasik.

“Saya difahamkan bahawa filem dan muzik India amat digemari di Malaysia. Anda semua juga mengetahui Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai suara yang merdu. Video beliau menyanyikan lagu Hindi lama ketika berada di India pernah menjadi tular,” katanya sambil menambah beliau gembira mengetahui Datuk Seri Anwar turut menggemari lagu-lagu Tamil legenda lakonan M.G. Ramachandran (MGR).

Dalam ucapannya, Modi turut menyampaikan ucapan perpaduan dan keharmonian bersempena beberapa perayaan keagamaan yang bakal diraikan.

Beliau merujuk kepada sambutan Thaipusam yang disambut minggu lepas, diikuti permulaan bulan Ramadan serta perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya mendoakan kebahagiaan, kesejahteraan dan kesihatan yang baik kepada semua,” katanya.