LIPIS, 23 November-Gerakan koperasi sekolah di Malaysia terus menjadi rujukan di peringkat antarabangsa ekoran keberkesanan dan kejayaan gerakan itu bagi melahirkan pelapis dalam dunia keusahawanan.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad ( ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini beberapa buah negara ASEAN iaitu Kemboja dan Filipina sudah menggunakan model Koperasi seperti di Malaysia.
Menurutnya, Global Conference of the International Cooperative Alliance (ICA) 2024 melibatkan negara lain seperti di benua Eropah juga sudah mula menuju ke arah tersebut kerana keberkesanan gerakan koperasi di peringkat sekolah.
"Persidangan International Koperasi Global Conference yang berlangsung di New Delhi pada isnin ini hingga Sabtu depan. Antara isu di bangkitkan Malaysia diminta membentangkan kertas kerja mengenai Koperasi.
"Macam mana sekolah di Malaysia menguruskan Koperasi sekolah selain daripada memberi manfaat daripada segi ekonomi pada sekolah tetapi juga melahirkan pelapis masa akan datang", katanya demikian ketika ditemui selepas Majlis Graduasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kali-17 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Tengku di sini.
Beliau turut menyeru 2,499 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu penglibatan anak-anak dalam gerakan koperasi sekolah.
Ibu bapa perlu memberikan galakan serta modal kerana sekolah menjadi platform terbaik dalam menyemai dunia keusahawanan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030.