fb fb fb fb fb

Model baharu perumahan awam PRR dibentang dalam masa terdekat

Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Model baharu perumahan awam dikenali sebagai Program Residensi Rakyat (PRR) akan dibentangkan di Kabinet dalam tempoh terdekat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, setakat ini, 32 plot tanah telah diberikan kepada KPKT daripada hampir semua negeri untuk program berkenaan.

Model baharu pembangunan rumah mampu milik itu akan lebih inklusif dengan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura dan Korea Selatan akan dijadikan sebagai penanda aras.

"PRR akan menjadi lebih inklusif berbanding Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya kepada media selepas majlis perasmian Sidang Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) dan perasmian ARCHIDEX 2024 di sini, hari ini.

Perasmian ACMROCB dan ARCHIDEX disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, KPKT akan melancarkan satu aplikasi yang boleh digunakan oleh setiap lapisan masyarakat menjelang tahun depan.

"Aplikasi ini akan memberi maklumat seperti lokasi risiko banjir kepada bakal pembeli. Jadi mereka boleh membuat pilihan yang lebih baik.

"(Ia) juga boleh digunakan pemaju hartanah untuk menilai kesesuaian jenis projek sama ada teres, kondominium atau apartmen. Justeru, ia akan memudahkan keputusan mereka sebelum membangunkan projek lebih dinamik," katanya.

SITI AISHAH MD ISA