fb fb fb fb fb

MITI dan agensi berkaitan kaji tingkat sasaran unit pengecas EV

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Februari - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi berkaitan seperti Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sedang mengkaji dan memperhalusi kewajaran untuk meningkatkan sasaran 10,000 unit pengecas kenderaan elektrik (EV). 

Menurut Timbalan Menterinya Liew Chin Tong, hasil kajian akan dibentang dalam Mesyuarat Jawatankuasa EV Kebangsaan (NEVSC) pada suku kedua tahun 2024  

"Hingga 31 Disember 2023 sejumlah 2,020 unit pengecas telah dipasang di 750 lokasi di seluruh negara, di mana 1,591 unit adalah jenis AC, dan baki 429 unit adalah DC.

"Mengambil kira kebanyakan perumahan di Malaysia jenis harta tanah di mana pengguna EV boleh mengecas kenderaan mereka di rumah dan semakin banyak destinasi seperti pusat membeli belah juga telah menyediakan kemudahan pengecasan EV jenis AC untuk pelanggan mereka," kata Liew Chin Tong di Dewan Rakyat.

Selain itu katanya, kerajaan turut mengalu-alukan syarikat Pengilang Peralatan Tulen (OEM) untuk mengeluarkan kenderaan EV secara tempatan (CKD) bawah harga RM100,000 dalam usaha menangani isu kurangnya pemilikan EV dalam kalangan rakyat. 

"Syarikat pengeluar kenderaan nasional seperti PROTON dan PERODUA telah memberi komitmen untuk mengeluarkan EV pada harga kompetitif pada tahun 2025 bagi memenuhi pasaran semasa," katanya.

TETITIA YUSOFF