fb fb fb fb fb

MITI akan rangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) di Putrajaya

PUTRAJAYA, 16 April- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diputuskan untuk merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri itu kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini.

Ia penting bagi menarik minat pelbagai syarikat semikonduktor antarabangsa untuk menubuhkan fasiliti pembuatan semikonduktor berkualiti tinggi dalam negara.

"Pelan Strategik ini akan turut meliputi pakej insentif yang lebih menarik bagi mempertingkatkan kemasukan pelaburan strategik dalam semikonduktor berteknologi tinggi, khususnya bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti front-end dalam industri semikonduktor di Malaysia.

"Mesyuarat juga telah meneliti cadangan pembangunan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) dan bersetuju ianya dilaksanakan secara usaha sama oleh syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dengan kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Perak," katanya.

Usaha yang Kerajaan MADANI adalah untuk mempercepatkan pembangunan KIGIP sebagai salah satu pemangkin utama bagi menarik pelaburan hijau ke dalam negara.

Pengoperasiaan KIGIP akan dijana sepenuhnya dengan Tenaga Boleh Baharu (TBB) selaras dengan aspirasi negara ke arah mencapai neutral karbon seawal 2050.

Selepas mesyuarat itu Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman, yang akan bersara pada 17 April 2024 setelah berkhidmat selama hampir 35 tahun di MIDA.

"Semasa kunjungan hormat ini, saya telah menerima senaskhah MIDA Coffee Table book yang bertajuk 'Stepping Stones : MIDA's Journey' yang mendokumenkan peranan MIDA dalam menarik pelaburan sejak penubuhannya 57 tahun yang lalu," katanya.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Arham selama berkhidmat dengan MIDA.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI