fb fb fb fb fb

Misi pengantarabangsaan pendidikan tinggi ke Selatan Thailand

Prof. Dr. Mohd Foad bergambar kenangan dengan Gabenor Pattani, Pateemoh Sadeeyamu sempena lawatan 3 hari ke wilayah Selatan Thailand yang bertujuan mempromosi pendidikan tinggi Malaysia, khususnya UUM/ Foto UUM

SONGKHLA, 30 April – Kunjungan delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) ke tiga wilayah di Selatan Thailand bukan sahaja memperluaskan kerjasama pendidikan tinggi tetapi dapat menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua negara, Malaysia-Thailand.

Delegasi diketuai Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Mohd Foad Sakdan memulakan lawatan dengan misi menjayakan pelbagai bidang kerjasama khusus bagi menarik pelajar dari Selatan Thailand mengikuti pengajian tinggi di UUM yang secara strategik terletak berhampiran sempadan.

Misi kali ini lebih bermakna dan relevan memandangkan Malaysia bakal menjadi Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN tahun hadapan.

Ketibaan delegasi di Selatan Thailand ini juga bermatlamat merealisasikan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dari segi program pertukaran pelajar, pensyarah, penyelidikan, penerbitan bersama serta kerjasama lain di dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Lawatan pada 28 April itu bermula dengan kunjungan hormat ke atas Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw dan kedua-dua pihak berpeluang berbincang untuk meneroka kerjasama di dalam bidang pendidikan tinggi.

Antara perkara yang disentuh adalah mekanisme perkongsian dan pemindahan ilmu serta kemahiran menerusi kerjasama pendidikan tinggi UUM-wilayah Songkhla selain penawaran pelbagai bidang seperti kursus profesional jangka pendek merangkumi program Perniagaan Islam, Halal dan Teknologi Komunikasi Maklumat.

Naib Canselor turut menyatakan hasrat membuka sebuah Pusat Kerjasama Pendidikan Tinggi UUM di Songkhla selain menawarkan kursus Bahasa Ingeris di kampus Sintok bagi guru serta kakitangan kerajaan Thailand yang berkhidmat di Selatan Thailand.

Gabenor Songkhla menyambut baik cadangan tersebut dan berharap penubuhan pusat itu dipercepatkan bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di wilayah tersebut.

Pada pertemuan itu juga, UUM menyatakan kesediaan membantu pelajar Selatan Thailand yang menduduki ujian Malaysia University English Test (MUET) yang menjadi syarat kemasukan ke universiti di negara ini.

Pada hari kedua lawatan iaitu 29 April, delegasi mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Pattani, Pateemoh Sadeeyamu untuk membincangkan strategi meningkatkan keterlihatan sektor pendidikan tinggi Malaysia di wilayah berkenaan memandangkan UUM terletak berhampiran sempadan negara dan wilayah Selatan Thailand.

Pada pertemuan itu, Prof. Dr. Mohd Foad menjelaskan peluang kepada pelajar Pattani untuk menyertai program mobiliti yang ditawarkan UUM kepada mahasiswa dari luar negara.
Perbincangan turut menjurus kepada pembentukan kerjasama bagi program-program seperti pertukaran pelajar, kakitangan serta penganjuran seminar atau persidangan antarabangsa termasuk penerbitan akademik bersama.

Pertemuan berkenaan mendapat maklum balas positif pentadbiran wilayah Pattani apabila Gabenor, Pateemoh memberi jaminan untuk membantu pelajar dari wilayah tersebut untuk melanjutkan pengajian ke Malaysia khususnya UUM.

Pada hari terakhir lawatan tiga hari ke Selatan Thailand, delegasi melakukan kunjungan hormat terhadap Gabenor Satun, Sakra Kapinkarn bagi membincangkan pelbagai bidang kerjasama di dalam bidang pendidikan tinggi khususnya berkaitan peluang yang ditawarkan UUM kepada semua pelajar di wilayah Selatan.

Sokongan semua pejabat pentadbiran wilayah dapat menjayakan misi UUM untuk membuka Pusat Kerjasama Pendidikan Tinggi UUM di Selatan Thailand.

Di samping pertemuan dengan gabenor-gabenor wilayah, delegasi UUM turut mengadakan pertemuan dengan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Sarkawi dan membentuk kerjasama bagi menjayakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi di wilayah berkenaan.

Menurut Prof. Dr. Mohd Foad, Konsul Jeneral Malaysia diharap dapat menjadi rakan strategik UUM dalam usaha membuka peluang pendidikan tinggi kepada pelajar-pelajar di wilayah Selatan Thailand.

Selain itu, pejabat diplomatik boleh berperanan sebagai penghubung UUM kepada universiti-universiti yang terdapat di wilayah berkenaan ke arah pembentukan kerjasama lebih erat yang mampu meningkatkan proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Pembukaan sebuah Pusat Kerjasama UUM misalnya, antara cadangan yang dibincangkan pada pertemuan itu.

Mengulas perkara itu, Ahmad Fahmi selaku Konsul Jeneral Malaysia berkata, aktiviti promosi berterusan adalah antara program yang berkesan untuk menarik lebih ramai pelajar Selatan Thailand menyambung pengajian di Malaysia khususnya UUM.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD