
GUA MUSANG, 19 Januari – Lebih 10.8 tan baki bekalan makanan berjaya dihantar kepada penduduk Orang Asli di lima pos pedalaman di sini yang terjejas akibat terputus hubungan darat, menerusi penghantaran menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.
- Penghantaran 582 bakul makanan diselesaikan menggunakan helikopter MI-17-IV JBPM selepas operasi bermula semalam.
- Jakoa peruntuk lebih RM146,000 dalam dua tahun bagi bantuan bakul makanan kepada lima pos Orang Asli.
- Lebih 17 tan bekalan telah dihantar sepanjang musim monsun, memberi manfaat kepada 3,824 penduduk di 43 kampung.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Mohd Faedzyal Mohamed, berkata operasi penghantaran membabitkan 582 bakul makanan itu bermula semalam dan selesai hari ini dengan menggunakan sebuah helikopter MI-17-IV milik JBPM.
Menurutnya, operasi penghantaran bekalan makanan tersebut sebenarnya telah bermula sejak 6 Januari lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca buruk yang melanda daerah Gua Musang.
“Dalam tempoh dua tahun, Jakoa telah memperuntukkan lebih RM146,000 bagi bantuan bakul makanan untuk diagihkan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman, melibatkan lima pos di kampung Orang Asli. Bantuan ini disalurkan berikutan keadaan monsun timur laut, bencana alam serta kejadian tanah runtuh yang menjejaskan laluan darat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim, memaklumkan lebih 17 tan bakul makanan telah dihantar menggunakan helikopter JBPM sepanjang musim monsun timur laut kali ini, memberi manfaat kepada 3,824 penduduk Orang Asli di 43 kampung pedalaman sekitar Gua Musang.
Beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan serta semua pihak yang terlibat dalam usaha menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan yang tidak dapat diakses akibat cuaca buruk.
“Keterujaan penduduk jelas kelihatan apabila helikopter mendarat di kampung mereka, hasil kerjasama erat semua pihak termasuk pemimpin tempatan yang memastikan bantuan sampai dengan selamat,” katanya.
Mereka ditemui pemberita selepas operasi penghantaran baki bakul makanan ke kawasan pedalaman yang terjejas menggunakan helikopter Unit Udara JBPM, di sini.