KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Pasukan guaman Malaysia mewakili aktivis Sumud Nusantara mengesahkan tiada kekerasan atau keganasan digunakan terhadap rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel.
Peguam Fahmi Abd Moin daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Berita RTM.
Beliau berkata dia bersama empat lagi peguam dari Malaysia tiba di Amman, Jordan petang semalam bagi memberikan khidmat bantuan undang-undang kepada aktivis Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau berkata, maklumat terkini memaklumkan seramai 12 rakyat Malaysia masih berada dalam bot masing-masing, sementara pihak Israel menahan lebih 30 kapal flotilla di perairan antarabangsa.
"Sekiranya mereka ditahan, kemungkinan besar akan dibawa ke pelabuhan Ashdod atau Ashkelon di Israel dan diberikan beberapa borang di bawah undang-undang imigresen Israel. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, mereka akan dihantar pulang atau dideportasi melalui kedutaan Malaysia di Amman, Jordan, atau di Kaherah, Mesir.
"Kedua, mereka juga mungkin ditahan maksimum 72 jam mengikut undang-undang imigresen Israel setelah proses perundangan dibuat. Ketiga, mereka boleh ditahan lebih lama sekiranya dianggap sebagai pengganas oleh rejim Israel,” katanya ketika dihubungi RTM.
Katanya, walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, CENTHRA akan terus menuntut pembebasan segera, pampasan sewajarnya, serta menentang rampasan kapal flotilla terbabit.
"Kami akan bekerjasama dengan kumpulan peguam hak asasi manusia ADALA -The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel yang berpengkalan di Israel bagi memastikan hak undang-undang delegasi Malaysia dijaga sepenuhnya," katanya.
Beliau turut mengesahkan keadaan kesihatan rakyat Malaysia yang terlibat adalah baik, meskipun terdapat maklumatbeberapa kapal flotilla disembur dengan water cannon oleh pasukan Israel.