fb fb fb fb fb

Misi GSF beri kesedaran kepada dunia

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza berjaya menyedarkan dunia betapa kejamnya rejim Zionis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat bahawa misi GSF sangat berjaya kerana peserta sedar bukan mudah untuk sampai ke Gaza bawah rejim penjajahan Israel.

"Mereka memberikan sumbangan yang besar.

"Kesedaran kepada ratusan rakyat di dunia bahawa rejim ini tidak hanya menentang apa yang mereka ungkapkan sebagai kelompok ganas, walaupun bagi kita ini gerakan pembebasan Palestin dan Gaza," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian menerusi video siaran langsung yang dimuat naik di Facebook rasmi, hari ini.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa rejim zionis turut melarang, menghindar dengan keras apa juga bantuan kemanusiaan.

"Ini hanya berlaku kalau negara itu mempunyai pemimpin, falsafah yang sangat kejam tidak bertamadun. Negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberikan ruang untuk bantuan kemanusiaan.

"Ini pengajaran yang tersebar di seluruh dunia," katanya.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID