SEPANG, 8 Oktober - Wisma Putra mengesahkan seramai 23 peserta Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di tanah air malam tadi (Selasa) selepas menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua peserta tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.07 malam waktu Malaysia dan berada dalam keadaan selamat serta sihat.
Ketibaan kumpulan berkenaan disambut oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Perdana Menteri, bersama Menteri Komunikasi, Menteri Pendidikan, Menteri Besar Selangor, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Timbalan Menteri Agama, Mufti Wilayah Persekutuan, Duta Besar Türkiye, Kuasa Usaha Sementara Palestin, Ketua Setiausaha Negara serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“Kerajaan Malaysia menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Türkiye atas sokongan, bantuan serta fasilitasi yang amat penting dalam memastikan kepulangan rakyat Malaysia yang terlibat,” kata kenyataan itu.
Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jordan, Mesir, Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN yang mempunyai kehadiran di Tel Aviv atas kerjasama mereka dalam memastikan keselamatan serta kepulangan warganegara Malaysia.
Menurut kenyataan itu lagi, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai turut memainkan peranan penting dalam membantu proses membawa pulang serta memastikan kebajikan para sukarelawan sepanjang transit dan urusan repatriasi berjalan lancar.
Kementerian turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau satu lagi misi flotila di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang kini dalam perjalanan ke Gaza membawa sembilan aktivis rakyat Malaysia.
“Misi ini bertujuan untuk mencabar sekatan tidak sah yang dikenakan oleh Israel serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang memerlukan,” jelas kenyataan itu.
Semua pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan telah diarahkan untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya serta mengekalkan pemantauan rapi terhadap perkembangan misi tersebut.
“Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan negara-negara rakan strategik bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan hak rakyat Malaysia sentiasa terpelihara, selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam menjunjung prinsip kemanusiaan sejagat dan keadilan antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.