fb fb fb fb fb

Misi FFC hampir ke Gaza, Dr. Zulkifli seru rakyat bersatu demi kemanusiaan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan (tengah) bercakap dalam sidang media selepas melawat pusat Operasi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di Seri Kembangan/BERNAMA

SERI KEMBANGAN, 7 Oktober – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan menyampaikan ucapan semangat serta rasa bangga terhadap keberanian dan komitmen pasukan Malaysia yang kini berjuang membawa mesej kemanusiaan dan keamanan untuk rakyat Gaza menerusi Misi Kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC).

Menurut beliau, misi tersebut bukan sekadar membawa bantuan, tetapi menjadi simbol solidariti sejagat terhadap penderitaan rakyat Palestin yang berdepan kekejaman berpanjangan rejim Zionis Israel.

“Walau apa pun, kita bersedia dengan apa yang berlaku. Saya mohon kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan ideologi untuk memberikan sokongan kerana ini merupakan isu kemanusiaan.

"Badan antarabangsa telah pun mengisytiharkan bahawa ini adalah genocide, dan kita perlu bersatu hati atas nama kemanusiaan untuk menghentikan kekejaman serta jenayah kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Pusat Operasi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di sini hari ini, bagi mengikuti perkembangan misi tersebut.

Dr. Zulkifli turut berinteraksi secara langsung menerusi panggilan video khas bersama pasukan sukarelawan negara yang kini dilaporkan berada dalam keadaan baik, bergerak pada kelajuan empat knot serta telah melepasi jarak lebih 200 batu nautika dari pesisir Gaza.

Ketua delegasi, Profesor Alauddin memaklumkan pasukan berkenaan menjangka akan berhadapan dengan penahanan oleh rejim Zionis Israel apabila menghampiri zon merah, sekitar 150 batu nautika dari destinasi utama.

Sementara itu, MyCARE menyeru masyarakat antarabangsa agar terus memberi tekanan kepada rejim Zionis Israel supaya menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin dan membenarkan laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza diteruskan tanpa halangan.

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN