MIRI, 19 Februari- Sukan berbasikal akan terus dipromosikan sebagai salah satu produk pelancongan ke Bandaraya Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, ini berikutan Miri mempunyai rangkaian jalan raya yang mendatar dari pusat bandar sehingga ke Kuala Baram.
Malah, bilangan peserta yang menyertai sukan berbasikal diyakini meningkat pada masa akan datang khasnya dari luar negara dengan kerjasama daripada Persatuan atau Kelab sukan berbasikal dan Kementerian Belia dan Sukan Sarawak dalam mengelolakan acara tahap antarabangsa tahun hadapan.
" Miri mempunyai venue yang sangat baik untuk berbasikal kerana kami mempunyai jalan raya kayuhan yang agak rata sehingga ke Kuala Baram contohnya sebelum ini kami ada pertandingan berbasikal antarabangsa jadi saya ingin menggalakkan Masterpiece Cycling Club untuk menganjurkan kayuhan antarabangsa pada tahun hadapan dan berharap Kementerian Belia dan Sukan memberi sokongan penuh kepada mereka"katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Miri Criterium 1.0 Cycling RaCe Masterpiece Cycling Club di Jalan Marina Miri.
Seramai 225 peserta termasuk 28 penunggang basikal antarabangsa mengambil bahagian dalam acara berbasikal sejauh dua kilometer itu .
Pemenang telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai , piala dan medal.