fb fb fb fb fb

Minyak masak: 24 peratus peniaga jual bawah harga siling

KUALA LUMPUR, 10 Ogos- Hasil pemeriksaan selama dua hari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati sebanyak 75.5 peratus peniaga mematuhi harga siling minyak masak.

Ketua Seksyen Kawalan Harga dan Anti Pencatutan KPDNHEP, Zubir Hamsa memaklumkan, sejak penguatkuasaannya bermula Isnin lalu, 24 peratus peniaga menjual di bawah harga siling ditetapkan.

"Untuk dua hari ini kita sudah buat lebih kurang 362 pemeriksaan, ada dua kes mereka jual lebih dari harga siling yang mana dia jual lebih dari harga maksimum iaitu pada harga RM46 dan satu lagi sekitar RM37. Kedua-dua kes ini kedua-dua premis itu dikompaun. Di bawah pemeriksaan kita, satu kesalahan di bawah Akta Kawalan 1961, kalau ada yang sembunyi, sorok, enggan menjual atau mengenakan syarat,kita akan ambil tindakan," katanya selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi  Malaysia di Angkasapuri.


(Ketua Seksyen Kawalan Harga dan Anti Pencatutan KPDNHEP, Zubir Hamsa)

Tambah Zubir, trend pembelian pengguna juga dilihat terkawal.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak menyembunyikan bekalan minyak masak kerana penalti boleh dikenakan mencecah RM1juta hingga RM3 juta kepada individu terlibat.

Media Baharu