PAPAR, 8 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan merangka penyelesaian jangka panjang bagi memastikan kestabilan bekalan minyak masak botol di pasaran.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata penyelesaian itu khususnya bagi tempoh tiga bulan, bermula Mac hingga Mei ini.
Beliau berkata tempoh tiga bulan itu juga penting bagi memastikan rakyat mendapatkan bekalan minyak masak yang cukup bagi meraikan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, dan Hari Gawai sekitar tempoh tersebut.
"Kita menyasarkan dalam tempoh tiga bulan ini, walaupun dijangka selepas Aidilfitri nanti, harga minyak sawit mentah dunia (CPO) akan menurun, tetapi (kini) masih tinggi. Syarikat akan berdepan kos pengeluaran tinggi. Jadi, tiga bulan ini adalah tempoh kritikal iaitu adanya Ramadan, Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai.
"Jadi kita mahu tiga bulan ini tidak ada isu dengan kita beri insentif kepada syarikat supaya dapat membantu mereka mengeluarkan minyak masak kemasan botol berdasarkan keperluan biasa rakyat", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas Autoexpert (Sim@Pax) Hari Raya Aidilfitri dan Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di sini.
Tambah beliau, walaupun KPDN mengumumkan langkah intervensi untuk pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak botol, namun ia disifatkan penyelesaian jangka pendek.