MINDEF tetapkan 30 peratus kandungan tempatan dalam perolehan pertahanan

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 21 Januari – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan atau ‘local content’ dalam setiap perolehan.

RINGKASAN BERITA AI
  • MINDEF mewajibkan sekurang-kurangnya 30% kandungan tempatan dalam setiap perolehan pertahanan.
  • Semua aktiviti MRO mesti dijalankan oleh syarikat tempatan kecuali dalam tempoh waranti oleh OEM.
  • Program ICP dan portal DIPN diperkukuh untuk pemindahan teknologi, sokongan R&D dan pembangunan projek pertahanan nasional.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi langkah berkenaan, tiada lagi penglibatan pengeluar peralatan asal (OEM) dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Beliau berkata, semua aktiviti perkhidmatan MRO mesti dijayakan syarikat tempatan, melainkan aktiviti MRO dalam tempoh waranti yang boleh dikendalikan oleh OEM sahaja.

“Setiap syarikat tempatan yang terlibat hendaklah menunjukkan inovasi dan penambahbaikan. Yang dapat meningkatkan peratusan local content serta mengurangkan kos.

“Jika mereka gagal ini, kita akan menghentikan kontrak MRO mereka, walaupun mereka syarikat tempatan. Kerana matlamat kita adalah untuk mengutamakan kepentingan negara.

“Dan kita akan membuka semula tender, bagi memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan yang benar-benar mampu berinovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan Negara
(DIPN) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, MINDEF akan melaksanakan Program Kolaborasi Industri (ICP) secara agresif dalam usaha memindahkan teknologi kepada syarikat pertahanan tempatan yang benar-benar berkeupayaan dan berkemampuan untuk menerima teknologi sahaja.

“Pendekatan ICP hanya akan diberikan kepada syarikat yang benar-benar boleh melahirkan hasil dan produk daripada pemindahan teknologi tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, ekosistem penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D) turut diperkukuhkan bagi menyokong pertumbuhan industri pertahanan tempatan.

“Jadi, untuk menyokong R&D, selain peruntukan langsung oleh kerajaan, ICP juga dapat menyediakan dana R&D kepada syarikat-syarikat tempatan melalui Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE),” kata beliau.

Sementara itu, menerusi pelancaran DIPN, MINDEF turut memperkenalkan Portal Industri Pertahanan yang menyediakan platform permohonan ICP geran R&D serta penawaran teknologi berkaitan sektor pertahanan.

Mohamed Khaled turut mengumumkan beberapa projek pertahanan nasional, termasuk pembangunan satelit pertahanan tempatan, sistem laser pertahanan, keupayaan pembuatan casis kenderaan darat, sistem persenjataan, radar pasif, loitering munition system (kamikaze drone) serta simulator pertahanan.

Inisiatif berkenaan bukan bertujuan menghasilkan sistem persenjataan sepenuhnya dalam tempoh singkat, sebaliknya sebagai langkah permulaan membangunkan komponen dan perkhidmatan tempatan, supaya syarikat Malaysia dapat menyertai rantaian bekalan industri pertahanan secara signifikan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan