fb fb fb fb fb

MINDEF sedia beri kerjasama penuh kepada SPRM

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KOTA TINGGI, 20 Januari- Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga siasatan terhadap kes kartel perolehan membabitkan kerja pembinaan di sebuah Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Johor bernilai lebih RM9 juta selesai dilakukan. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia susulan kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang kartel perolehan kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di kem berkenaan. 

Pihaknya berharap tindakan sewajarnya diambil sekali gus  dapat memberi pengajaran kepada semua pihak.

"Saya harap supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dan sebagai menteri saya amat mengalukan dan akan memberi kerjasama kepada pihak SPRM dan saya harap perkara ini menjadi pengajaran supaya projek kerajaan yang telah diluluskan benar-benar sampai ke sasaran," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Komuniti Madani Sedili Kota Tinggi di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar, di sini.

Sebelum ini, TLDM mengesahkan beberapa anggotanya dipanggil SPRM susulan siasatan kes 'kartel perolehan' membabitkan kerja pembinaan di sebuah kem milik kementerian di Johor.

Ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 28 hingga 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 6.00 petang, kelmarin disebabkan pembayaran penuh telah dibuat, namun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga selaku Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata empat poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal dibina di Kluang Johor, Seberang Takir, Terengganu, Sungai Petani, Kedah dan Kuantan, Pahang. 

Proses spesifikasi sedang dilakukan sebelum pembukaan tender dibuat di empat negeri ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI