MINDEF perkasa tadbir urus ATM dengan AI

FOTO FB KHALED NORDIN

KOTA TINGGI, 31 Januari – Kementerian Pertahanan (MINDEF) komited, memperkukuh penggunaan teknologi digital dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menambah baik sistem tadbir urus Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh penggunaan AI untuk meningkatkan tadbir urus dan pengurusan perolehan ATM.
  • AI digunakan menilai kesesuaian barangan, harga dan perbandingan perolehan antarabangsa.
  • Pengesanan kecenderungan tingkah laku pegawai berkaitan perolehan bagi cegah salah guna kuasa.
  • Integrasi prinsip ESG dan penubuhan unit khas bagi menangani aduan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu dapat mendorong usaha menangani isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Melalui AI, kita boleh menilai sama ada sesuatu barangan itu sesuai atau tidak, menilai sama ada harga yang ditawarkan terlalu tinggi berbanding perolehan di negara lain, serta mengesan kecenderungan sikap individu yang memegang jawatan berkaitan perolehan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Program Kampung Angkat MADANI-MINDEF di Pantai Teluk Mahkota, Tanjung Sedili di sini.

MINDEF juga turut mengambil pendekatan melibatkan penerapan Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), serta penubuhan unit khas bagi menangani aduan.