fb fb fb fb fb

MINDEF perkasa 10 fokus utama seiring cabaran dan keperluan semasa

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 16 Januari- Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memperkasakan aspek kesejahteraan warga kementerian itu dengan memberi tumpuan kepada aspek keselesaan tempat tinggal dan pendidikan pada tahun ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkara itu antara 10 fokus utama yang digariskan dalam perancangan 2025 seiring dengan cabaran dan keperluan semasa.

Beliau juga memaklumkan sebanyak RM12 bilion diperuntukkan untuk tujuan perolehan aset dan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Antara perolehan aset utama yang telah diluluskan pada tahun ini termasuk Meriam 105 milimeter Pack-Howitzer untuk Tentera Darat Surface to Surface Missile bagi kegunaan KD JEBAT milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga unit Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System.

"Kita akan turut memastikan perkembangan dan kemajuan pembinaan aset-aset penting mencapai kemajuan yang dijadualkan. ini termasuklah Kapal Tempur Pesisir 1 (LCS1) yang disasarkan kemajuan penyiapannya mencapai 96.52 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 Menteri Pertahanan di Wisma Perwira di ibu negara.

Kementerian turut memberi tumpuan berkenaan peningkatan faedah hilang upaya yang akan diberikan kepada kumpulan sasaran yang lebih besar berkuat kuasa Januari ini.

"Pencen Hilang Upaya akan diberikan kepada semua darjah hilang upaya dengan memansuhkan Ganjaran Hilang Upaya secara sekali gus yang digunakan sebelum ini.

"Julat Elaun Pelajaran Anak-Anak Penerima Pencen Hilang Upaya dinaikkan daripada RM200 hingga RM685 setahun kepada RM1,600 hingga RM5,400 setahun mengikut tahap pendidikan.

"Kita bersetuju mewujudkan Ganjaran Hilang Upaya Disebabkan Oleh Kecederaan Semasa Tugas Aktif (Wounded In Action) yang akan diberi secara sekali gus kepada semua anggota ATM yang mengalami kecederaan semasa tugas aktif.

"Selain itu, Elaun Layanan Sentiasa juga dinaikkan daripada RM440 sebulan kepada RM1,500 sebulan selaras dengan Perintah Gaji Minimum 2022," katanya lagi.

Bagi aspek penyelengaraan rumah anggota ATM, sebanyak RM426 juta diperuntukkan tahun ini untuk menggandakan usaha menyelenggara dan menambah baik bangunan dan fasiliti Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta blok-blok penginapan anggota di seluruh negara.

"Dianggarkan lebih 12,000 unit RKAT dan penginapan anggota akan menerima manfaat daripada peruntukan penyelenggaraan ini," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI