fb fb fb fb fb

MINDEF dalam fasa akhir nilai kesesuaian, cabaran bangun pangkalan TLDM

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/ BERNAMA

KOTA TINGGI, 9 Februari- Kementerian Pertahanan (MINDEF) kini berada dalam fasa akhir, untuk menilai kesesuaian dan cabaran tapak, bagi membangunkan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), untuk Markas Wilayah Laut Empat, (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian itu komited memastikan projek disegerakan kerana pangkalan itu penting bagi menampung tiga buah kapal misi pesisir (LMS).

"Kita masih lagi di peringkat akhir untuk megenal pasti kesesuaian dan cabaran dalam pemilihan tapak.

"Ia ada masalah-masalah tertentu tetapi kita memang memerlukan satu pangkalan laut di Sarawak," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau sempena Ramadhan, di sini.

Terdahulu, MINDEF telah berunding dengan kerajaan Sarawak bagi menempatkan pangkalan TLDM di negeri itu, untuk menjamin kedaulatan perairan, terutama ketika menghadapi konflik dan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Kapal-kapal LMS terbabit, yang dibina oleh syarikat dari Turkiye, dijangka siap pada tahun 2027.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI