TAMBUN, 4 Mei- Kestabilan politik dan dasar yang jelas antara aspek yang menarik syarikat gergasi teknologi, Microsoft untuk menambah pelaburan berjumlah RM10.5 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dua hari lalu, Microsoft datang, bukan saya yang umumkan, dia yang umumkan pelaburan RM10.5 bilion di Malaysia. (Juga umumkan) akan melatih anak muda (seramai) ratusan ribu orang.
"Saya minta dia (Microsoft) bantu fakulti, universiti, (bidang) kecerdasan buatan (AI), bantu latihan di TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
"(Microsoft) jawab 'ya'. Kerana apa? Kerana politik (Malaysia) stabil, dasarnya jelas dan pimpinan negara yang tidak bertolak ansur dengan segala penyelewengan dan amalan 'menyakau' wang rakyat," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 di sini, Perak, hari ini.
Sementara itu, sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia yang disambut hari ini, Perdana Menteri menyentuh mengenai aspek penambahbaikan dalam perkhidmatan jabatan berkenaan.
Anwar mahu pimpinan dan pengurusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencari kaedah terbaik termasuk meningkatkan aspek disiplin, keupayaan dan kecekapan dalam jabatan.
"Mesti ada keinginan perbaiki, bukan hanya meneruskan sahaja. Tetapi ada semangat bawa kebaikan dan tambahan, itqan fil amal, striving for excellence (berusaha untuk kecemerlangan).
"Jadi saya minta pihak pengurusan dan pimpinan di kementerian, ketua setiausaha, ketua pengarah supaya cari kaedah, jalan apa lagi yang boleh dilakukan untuk memperbaiki, tingkatkan disiplin, keupayaan dan kecekapan.
"Kita mahu Malaysia ini bukan sahaja daripada segi ekonomi, tetapi tahap kecekapan dan keselamatan itu (menjadi) antara yang terbaik di rantau ini. Itu cita-cita kita," katanya.