MetMalaysia ramal cuaca panas dan kurang hujan hingga 25 Januari

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 18 Januari -Kebanyakan kawasan seluruh negara, terutama di utara Semenanjung dijangkakan berlaku cuaca panas dan kurang hujan hingga 25 Januari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuaca panas dan kurang hujan dijangka meliputi kebanyakan kawasan hingga 25 Januari, terutama utara Semenanjung.
  • Suhu maksimum sesetengah kawasan boleh mencecah sekitar 34 darjah Celsius.
  • Ribut petir dengan angin kencang secara singkat berpotensi berlaku lewat petang dan awal malam di barat Semenanjung.
  • Amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan untuk perairan tertentu bermula 21 hingga 25 Januari, bahaya kepada aktiviti laut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan analisis model-model ramalan cuaca, suhu maksimum di sesetengah kawasan dijangka boleh mencecah 34 darjah Celcius dalam tempoh itu.

“Bagaimanapun, ribut petir berserta angin kencang untuk tempoh yang singkat masih berpotensi berlaku, terutama di barat Semenanjung pada lewat petang dan awal malam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di sekitar perairan negara bermula 21 hingga 25 Januari ini.

Angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak setinggi sehingga 3.5 meter dijangka melanda kawasan perairan Condore, utara Bunguran, Reef North, utara Reef South dan Layang-Layang.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” menurut hantaran itu.

Sementara itu, amaran kategori kedua pula dikeluarkan bagi kawasan perairan timur laut Condore dan barat laut Reef North dengan angin kencang berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak lebih 4.5 meter.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” menurut MetMalaysia.

 

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan