fb fb fb fb fb

MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir di 12 negeri

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 6 Mac- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di 12 negeri sehingga pukul 5.00 petang ini.

Menurut kenyataan MetMalaysia, kawasan terlibat merangkumi beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

Di Kedah, kawasan terjejas termasuk Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu termasuk keseluruhan kawasan Pulau Pinang.

Di Perak, ribut petir dijangka berlaku di Kerian dan Larut, Matang dan Selama manakala di Pahang membabitkan daerah Bera, Pekan dan Rompin.

Di Selangor, ribut petir dan hujan lebat dijangka berlaku di Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang, sementara di Negeri Sembilan, kawasan terlibat iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau, Jempol dan Tampin serta keseluruhan kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor dan Melaka.

Sementara itu di Sabah, fenomena cuaca buruk dijangka melanda kawasan Pedalaman meliputi Sipitang dan Beaufort, Pantai Barat melibatkan Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud, selain Tawau meliputi Kunak dan Lahad Datu, Sandakan melibatkan kawasan Telupid, Kinabatangan, Beluran serta Kudat.

Di Sarawak pula membabitkan daerah Samarahan meliputi Simunjan, Sri Aman, Betong, Sibu dan Selangau, Mukah melibatkan Daro, Matu dab Dalat turut terkesan.

Menurutnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM