KUALA LUMPUR, 27 Disember- Amaran angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka melanda perairan timur Johor, Pahang, Terengganu, dan Kelantan.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), keadaan itu dijangka bermula dari 29 hingga 31 Disember.
"Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, aktiviti rekreasi laut, dan sukan laut," menurut kenyataan itu.
METMalaysia turut mengeluarkan amaran kenaikan paras air laut di kawasan perairan yang sama, bermula 29 hingga 30 Disember, yang berisiko menyebabkan limpahan air laut di kawasan pesisir pantai.
Amaran angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter turut dikeluarkan.
Ia dijangka melanda kawasan perairan utara Bunguran, timur laut, dan barat daya Reef North sehingga 31 Disember.
Selain itu, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter turut dijangka berlaku di kawasan perairan selatan Samui, Tioman, selatan Bunguran, tenggara Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan, dan Palawan sehingga 31 Disember.