fb fb fb fb fb

METMalaysia: Amaran hujan tahap bahaya di Kelantan, Terengganu, Pahang

Foto fail RTM

KUALA LUMPUR, 28 November - Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di seluruh Kelantan, Terengganu serta di Jerantut dan Kuantan, Pahang sehingga esok. (29 November)

METMalaysia dalam kenyataan turut memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan berlaku sehingga esok di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan beberapa kawasan di Pahang membabitkan Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin.

“Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di Kedah (Langkawi, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar) dan Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin).

“Amaran hujan berterusan tahap waspada juga dijangka melanda Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor serta Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat, Sabah, hingga esok,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bilangan penduduk terjejas akibat banjir di enam negeri dilaporkan seramai 55,918 orang, dan berlindung di 426 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 5.30 petang tadi. (28 November)

 

Trainee