fb fb fb fb fb

Mesyuarat pertama JKSK, syor tambah baik pentadbiran mahkamah syariah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar / BERNAMA

SEPANG, 5 Julai- Syor menambah baik fungsi pengurusan dan pentadbiran mahkamah syariah di seluruh negara antara perkara dibincang dalam Mesyuarat Kali Pertama Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan (JKSK) yang berlangsung di sini selama dua hari dan berakhir esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, ketika ini mahkamah syariah mempunyai tiga peringkat yang meliputi mahkamah rendah syariah, mahkamah tinggi syariah dan mahkamah rayuan syariah.

"Besar harapan saya agar mesyuarat JKSK menjadi ruang kepada penambahbaikan mahkamah syariah secara keseluruhannya.

"Kerajaan MADANI yang menerajui pemerintahan negara sangat komited dalam usaha memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan syariah," katanya kepada media selepas Sesi Khas Pertemuan dan Amanat bersama ahli JKSK di sini malam ini.

Ujarnya, syor atau perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut kemudian akan diangkat menjadi resolusi untuk dibentangkan ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

JKSK adalah jawatankuasa di bawah MKI yang diperkenan oleh Majlis Raja-Raja dan pada Februari lepas, nama-nama ahli jawatankuasa telah diangkat untuk perkenan Pengerusi MKI ketika itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda telah memperkenan pelantikan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada enam pakar undang-undang dan ahli akademik serta 14 wakil dari setiap negeri yang terdiri daripada Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri.

Mesyuarat Kali Pertama JKSK diadakan bagi mempertemukan ahli-ahli serta membincangkan gerak kerja, hala tuju dan menetapkan terma rujukan.

Penubuhan JKSK adalah langkah signifikan dalam usaha memperkukuh serta memperkembang perundangan syariah di Malaysia dan secara khusus berperanan meningkatkan serta memartabatkan sistem kehakiman syariah secara holistik.

Ia selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan usaha berterusan kerajaan untuk mempertingkat bidang kuasa, status serta kewibawaan mahkamah syariah.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI