LANGKAWI, 18 Januari – Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin mengetuai Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) pagi tadi, sempena Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM Retreat).
Mesyuarat SOM bertujuan menyediakan platform kepada pegawai kanan untuk mengadakan perbincangan mendalam mengenai isu-isu serantau utama serta menyelaraskan persediaan untuk mesyuarat peringkat menteri.
SOM juga bertujuan meletakkan asas bagi dialog yang produktif antara Menteri Luar ASEAN, dengan fokus pada meningkatkan perdagangan intra-Asean, memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi, dan transformasi digital.
Malaysia menekankan keterangkuman dan kemampanan dalam usaha membina komuniti serantau, dengan objektif merapatkan jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup, dan menangani perubahan iklim.