fb fb fb fb fb

Mesyuarat NACCOL bincang cadangan pengecualian kenaikan SST bil air, elektrik

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 27 Februari - Cadangan mengecualikan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas bil air dan elektrik, sedia dipertimbang kerajaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dijadual berlangsung 20 Mac ini untuk penelitian lanjut.

"Perkara berkaitan kenaikan SST memang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri kira-kira dua minggu lepas.

"Ada satu kertas khusus untuk kita melihat kesan dan impaknya dan insyaAllah perkara dibangkitkan kami akan bawa untuk dikaji," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan berhubung cadangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong supaya bil air dan elektrik dikecualikan daripada kenaikan SST, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Tambah Armizan, melalui NACCOL setiap penggubalan dasar dan program yang dilaksana kementerian dan agensinya akan memberi pertimbangan terhadap elemen kos sara hidup.

Menerusi Belanjawan 2024, lebih RM58 bilion diperuntuk bagi subsidi, insentif dan bantuan.

Antaranya, Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN