
PUTRAJAYA, 14 Januari – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah akan mengadakan mesyuarat susulan dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang berhubung rundingan 40 peratus hasil Sabah, sebagai kesinambungan kepada perbincangan awal yang telah diadakan sebelum ini.
- Mesyuarat susulan antara Persekutuan dan Sabah dijangka diadakan dalam satu hingga dua minggu akan datang.
- Jemaah Menteri memantau status pelaksanaan rundingan 40 peratus hasil Sabah mengikut tempoh ditetapkan.
- Mekanisme pembayaran dan perincian perlu dimuktamadkan dalam tempoh 180 hari.
- Kerajaan MADANI komited melaksanakan perjanjian termasuk hak Sabah mengikut MA63 bagi 40 peratus hasil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri telah membincangkan status pelaksanaan perkara berkenaan dan mengambil maklum proses rundingan yang sedang berjalan mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Jemaah Menteri juga ada membincangkan status pelaksanaan isu 40 peratus hasil bagi Sabah dan saya juga telah mendapatkan pengesahan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai jumlah mesyuarat yang telah diadakan dalam tempoh 90 hari, yang mana 90 hari daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu berakhir pada hari ini.
“… dan dalam tindakan adalah mesyuarat kedua yang akan diadakan pada bulan ini, maksudnya dalam satu hingga dua minggu ke depan ini, antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah sebagai lanjutan kepada perbincangan awal yang telah diadakan pada November yang lalu.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pasca Kabinet Pertama 2026 di Putrajaya.
Jelasnya, dalam tempoh 180 hari, mekanisme pembayaran serta perincian lain perlu dimuktamadkan dan dipersetujui bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Datuk Fahmi menegaskan, komitmen Kerajaan MADANI adalah untuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian yang telah dimeterai, termasuk perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melibatkan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil negeri.