
PUTRAJAYA, 11 Mac – Satu Mesyuarat Jemaah Menteri Khas akan diadakan pada Jumaat ini bagi meneliti dan memantau impak ekonomi negara susulan konflik di Asia Barat.
- Menyelidik dan menilai kedudukan fiskal negara untuk mengenal pasti tindakan segera yang perlu diambil.
- Memantau keadaan semasa bagi menentukan hala tuju dan langkah seterusnya kerajaan secara tepat dan berkesan.
- Perdana Menteri beri jaminan pemantauan berterusan serta seru kerjasama kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat khas itu memberi ruang kepada Jemaah Menteri untuk meneliti kedudukan fiskal dan mengenalpasti sebarang tindakan segara yang perlu diambil secara tepat dan berkesan bagi menghadapi ketidaktentuan global tersebut.
“Oleh kerana perkembangan itu berlaku dalam masa pantas dan menuntut kita mengkaji dari dekat, kita putuskan mesyuarat jemaah menteri khas akan diadakan pada pagi Jumaat 13 Mac 2026.
“Ini akan memberi ruang jemaah menteri meneliti kedudukan fiskal negara dan memantau keadaan semasa dengan lebih dekat dan menentukan hala tuju serta langkah seterusnya kita harus tangani.
“Sepertimana kita tahu, kita telah lalui ujian sebelum ini dan saya yakin sikap bertanggungjawab dengan kerjasama semua pihak, pimpinan kerajaan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat, kita dapat tangani masalah ini dengan baik,” katanya pada Sidang Media Khas Perdana Menteri di Putrajaya.
Datuk Seri Anwar memberi jaminan bahawa pemantauan dan perkembangan mengenai konflik itu akan diberi perhatian sewajarnya, bagi memastikan kepentingan rakyat dan negara terus terpelihara.