KUALA LUMPUR, 3 Jun- Sebanyak 16 bidang kerjasama strategik antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dibincangkan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerjasama Bersama (JCC) antara dua negara.
Menurut Wisma Putra, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Abu Dhabi esok bagi menjadi pengerusi bersama Menteri Negeri UAE, TYT Ahmed Ali Al Sayegh.
Penganjuran jawatankuasa itu selaras dengan peningkatan hubungan Malaysia-UAE ke tahap perkongsian strategik sejak September 2022.
"Antara 16 bidang kerjasama berkenaan termasuk pertahanan, perbankan dan kewangan, kesihatan, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan, industri halal serta sains dan teknologi.
"Timbalan Menteri Luar Negeri juga dijadual untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Negeri UAE, Yang Mulia Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan.
"Perbincangan mereka akan tertumpu kepada hubungan dua hala Malaysia-UAE, serta hal ehwal serantau dan antarabangsa, khususnya situasi di Asia Barat dan di Palestin," menurut kenyataan itu.
UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan destinasi import kedua terbesar dari rantau Asia Barat.
Pada tahun 2023, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 5.4 peratus kepada RM39.63 bilion (AS$8.67 bilion) berbanding RM37.6 bilion (AS$8.53 bilion) pada tahun sebelumnya.