fb fb fb fb fb

Mesyuarat dwirangkaian 5G dijangka diadakan minggu depan

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 26 Mac- Mesyuarat mengenai model dwirangkaian 5G Malaysia dijangka diadakan minggu hadapan.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil perbincangan itu turut melibatkan kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Kementerian Kewangan.

"Kita perlu mengadakan mesyuarat itu terlebih dahulu dan menilai situasi semasa. Kami jangka mesyuarat ini diadakan minggu depan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) BlackBerry oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Akan ada beberapa perbincangan. Saya minta perbincangan pasukan gabungan 5G diadakan. Kami akan berbincang, diri saya, Kementerian Kewangan (MoF) dan juga Kementerian Digital.

"Kementerian Digital menyelia aspek perjalanan Digital Nasional Bhd (DNB). Manakala Kementerian Komunikasi melihat landskap keseluruhan berkenaan spektrum, infrastruktur, menara. Jadi kami mempunyai peranan yang berbeza.

Pada 3 Mei tahun lalu, kerajaan memutuskan pelaksanaan dwirangkaian 5G selepas pengoperasiannya menerusi Digital Nasional Bhd berjaya mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Dalam pada itu, Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber dijangka mampu menepati sasaran untuk melahirkan 25,000 profesional keselamatan siber.

Fahmi berkata, penambahbaikan dalam keselamatan siber turut memberi sumbangan positif kepada ekonomi digital.

"Kami akan melakukan semua yang termampu bagi memastikan landskap keselamatan siber Malaysia diperkukuhkan dengan baik.

"Latihan bukan sekadar dilaksanakan, tetapi ia dilakukan bersama secara berterusan menerusi teknologi terkini melibatkan kedua-dua AI (kecerdasan buatan) generatif serta AI berpendidikan. Ia merupakan peluang terbaik untuk menyaksikan antara teknologi terbaik dalam industri.

Jelasnya, CCoE merupakan hasil perjanjian yang dimeterai November tahun lalu semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco.

Pusat itu akan dilengkapi beberapa kurikulum yang bermula dengan peringkat paling asas dan kursus pakar keselamatan siber dijangka dapat dilaksanakan menjelang awal tahun depan.

ROSLINA BINTI DIN