fb fb fb fb fb

Mesir letak syarat guna pesawat TUDM untuk bawa rakyat Palestin - PM

Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU, 17 Ogos- Usaha membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah atas faktor keselamatan terutama membabitkan kawasan di sempadan Mesir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan perkara itu berhubung kritikan mengenai langkah kerajaan menggunakan pesawat TUDM dalam operasi berkenaan dan bukannya penerbangan komersial.

"Kita ambil (rakyat Palestin) di sempadan, kena runding dengan kerajaan Mesir, syaratnya mesti bawa tentera udara, kena ada kelengkapan (kerana) ada risiko. Rakyat Palestin tahu risikonya, mungkin ditembak peluru berpandu Israel, jadi orang-orang di dalam pesawat itu, misalnya ibu iringi anaknya tahu akan risiko," katanya.

Anwar berkata kebenaran untuk membawa rakyat Palestin itu juga antara lain disebabkan hubungan erat Malaysia dan Mesir, serta beberapa negara Timur Tengah yang lain.

"Saya telefon Presiden Mesir minta kerjasama kerana tak mungkin kita dapat bawa mereka ke sini jika tiada kerjasama dengan Mesir. Ini baiknya kerana kita ada hubungan baik dengan Qatar, Mesir, Arab Saudi, UAE (Emiriah Arab Bersatu), Iran, itu yang membolehkan kita laksanakan operasi ini," katanya.

Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana dengan sedikit kemampuan dikurniakan kepada negara ini, selain nikmat keamanan, Malaysia mampu membantu rakyat Palestin yang menerima seksaan dan malapetaka kerana kezaliman Zionis.

"Ini tanggungjawab kecil yang kita laksanakan, yang upaya kita lakukan, kalau tanya saya syukurlah kepada Allah SWT kerana kita ada perasaan ihsan, timbang rasa dan tolong ringankan beban. Berapalah sangat 40, 50 orang ini berbanding 40,000 orang yang ditembak ganas oleh Israel," katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran UTM, Skudai di sini hari ini.

Semalam, dua pesawat Airbus A-400M milik TUDM yang membawa 41 pesakit dan 86 waris mereka, selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, Selangor kira-kira pukul 2.00 petang.

Kesemua pesakit dibawa ke hospital medan yang didirikan di hangar pangkalan udara berkenaan bagi saringan kesihatan.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA