KUALA LUMPUR, 29 Jun - Koperasi SANTUN Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperkenalkan mesin layan diri kesihatan pertama yang dilihat mampu memberi manfaat kepada masyarakat sekitar mengakses bekalan ubat-ubatan tanpa mengira masa.
Timbalan Ketua Pengarah YAPEIM, Awang Musran Tawil berkata pihaknya menyokong usaha Koperasi SANTUN untuk bergiat aktif dalam perniagaan farmasi dan mesin layan diri.
"Kita melihat farmasi dan mesin layan diri ini satu cabang perniagaan yang boleh meningkatkan ekonomi umat Islam. Program ini menunjukkan bahawa koperasi juga boleh bergerak mengembangkan ekonomi ahlinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Hari Terbuka Farmasi SANTUN, di sini.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi SANTUN YAPIEM, Muhammad Shahier Sa'min berkata pihaknya akan meneroka lebih banyak peluang dalam bidang perniagaan itu pada masa hadapan termasuk kerjasama dengan koperasi lain.
"Alhamdulillah ini outlet pertama yang mana kita kata sebagai projek rintis dan insyaAllah kita akan memacu lebih lagi pada masa depan," katanya.
Mesin layan diri kesihatan yang menawarkan hampir 64 jenis ubat itu akan diletakkan di kawasan tumpuan umum khususnya di Masjid.