
KUALA LUMPUR, 13 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkenalkan inisiatif ‘Menu Kasih Siswa’ dalam masa terdekat sebagai usaha berterusan meringankan beban kos sara hidup pelajar .
- Menu Kasih Siswa penambahbaikan kepada Menu Rahmah, pendekatan lebih menyeluruh untuk memastikan harga makanan kekal berpatutan.
- Nama inisiatif dipilih untuk menekankan elemen kebajikan dan galak universiti jalankan program kebajikan pelajar.
- KPT memantau harga makanan dan minuman di kafeteria IPTA susulan kenaikan kos bahan api.
- KPT maklumkan kepada pengusaha kafeteria universiti swasta supaya pertimbang tidak menaikkan harga menerusi perbincangan dua hala.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata inisiatif tersebut adalah penambahbaikan kepada konsep ‘Menu Rahmah’ sedia ada, dengan pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan harga makanan kekal berpatutan.
“Sekarang ini kita perkenalkan pula Menu Kasih Siswa. Nama ini dipilih supaya ia lebih dekat dengan elemen kebajikan. Saya yakin banyak universiti yang baik dalam negara kita mempunyai program kebajikan sendiri untuk menyantuni keberadaan dan keadaan pelajar di sana,” katanya selepas merasmikan Majlis Pencapaian dan Halatuju Celik MADANI di ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, Zambry berkata KPT sentiasa memantau harga makanan dan minuman di kafeteria kolej institusi pengajian tinggi awam (IPTA) susulan kenaikan harga bahan api akibat konflik di Asia Barat.
Di peringkat universiti swasta, pihaknya (KPT) sudah memaklumkan kepada pengusaha kafeteria supaya mengambil kira keadaan semasa dan mempertimbang untuk tidak menaikkan harga makanan.
“Di peringkat universiti awam ini, kita sentiasa memantau berdasarkan kepada pemerhatian yang dibuat oleh peringkat Naib-Naib Canselor mereka. Tetapi di peringkat universiti-universiti swasta ini, kita telah mohon dan maklumkan kepada mereka supaya mengambil kira keadaan sekarang agar pengusaha kafeteria dapat menimbang untuk tidak menaikkan harga makanan mereka.
“Kita akan maklumkan kepada mereka supaya mengambil kira situasi ini kerana perkara-perkara sebegini perlu diadakan melalui perbincangan dua hala,” jelasnya lagi.