
PUTRAJAYA, 27 Februari – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan menghubungi rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) berhubung implikasi keputusan Mahkamah Agung AS serta tarif baharu yang diumumkan Presiden AS, Donald Trump.
- Menteri Johari akan menghubungi rakan sejawat AS minggu hadapan mengenai implikasi keputusan Mahkamah Agung AS dan tarif baharu.
- Jemaah Menteri menunggu hasil perbincangan sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
- Komunikasi bertujuan memastikan penyelarasan dan memperkukuh hubungan dua hala dalam perdagangan dan pelaburan.
- Malaysia mengekalkan kepentingan terhadap hubungan dagangan dengan AS meskipun isu tarif dan perjanjian masih belum diratifikasi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri akan menunggu hasil perbincangan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.
“Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah menyampaikan maklumat terkini kepada Jemaah Menteri dan beliau memaklumkan akan berhubung dengan rakan sejawat dari AS pada minggu hadapan,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Menurutnya, komunikasi tersebut adalah sebahagian usaha memastikan penyelarasan serta hubungan dua hala terus diperkukuh, khususnya dalam aspek perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan AS.
Pada 20 Februari lalu, media melaporkan bahawa Mahkamah Agung itu membatalkan sebahagian besar daripada langkah tarif yang diperkenalkan Trump sebelum ini, dengan memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang AS untuk mengenakan tarif menyeluruh secara unilateral.
Malaysia telah memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) tetapi belum meratifikasi perjanjian itu.
AS adalah rakan dagang utama Malaysia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar kira-kira AS$31 trilion.
Pada 2025, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM367 bilion, termasuk RM233 bilion eksport Malaysia ke AS.