fb fb fb fb fb

Menteri Luar Malaysia tandatangan nota takziah di Kedutaan Iran bagi pihak kerajaan

Foto Facebook Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengunjungi Kedutaan Iran di Malaysia untuk menyampaikan ucapan takziah bagi pihak rakyat Malaysia atas pemergian Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Iran, Dr. Hossein Amirabdollahian yang terbunuh dalam nahas helikopter Ahad lepas.

Menerusi hantaran Facebook, Mohamad menyampaikan ucapan takziah itu kepada Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi.

"Telah saya sampaikan salam takziah dan rasa duka rakyat Malaysia kepada TYT Valiollah Mohammadi Nasrabadi, Duta Besar Republik Islam Iran ke Malaysia atas kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran," katanya menerusi hantaran itu.

Dalam hantaran itu, Menteri Luar menyatakan bahawa beliau juga telah menandatangani nota takziah bagi pihak kerajaan Malaysia atas pemergian kedua-dua pemimpin Iran berkenaan.

Pada 19 Mei kira-kira pukul 4.30 petang waktu tempatan, helikopter dinaiki Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luar Hossein Amirabdollahian dilaporkan terhempas di Hutan Dizmar Tengah di Wilayah Azerbaijan Timur, semasa dalam penerbangan pulang ke Tehran.

Presiden dan menteri luar termasuk semua penumpang lain di dalam helikopter berkenaan terkorban.

TETITIA YUSOFF