fb fb fb fb fb

Menteri Luar Jerman lawat Malaysia hari ini

Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock/ Foto Reuters

PUTRAJAYA, 12 Januari - Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock akan adakan lawatan rasmi ke Malaysia hari ini, dalam rangka lawatannya ke rantau Asia Tenggara.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), lawatan ke Malaysia itu menunjukkan pengukuhan hubungan yang semakin mendalam antara kedua-dua negara itu.

Lawatan itu menyusul lawatan rasmi oleh Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier ke Malaysia pada Februari 2023 bertujuan meningkatkan lagi hubungan diplomatik.

Semasa lawatan tersebut, Baerbock akan mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawatnya Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Putra.

"Perbincangan dijangka merangkumi pelbagai topik mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menarik minat bersama, termasuk hubungan Malaysia-Jerman, Hubungan Dialog ASEAN-EU, kerjasama dalam Perkongsian Pembangunan ASEAN-Jerman, perubahan iklim, tenaga boleh baharu, dan situasi di Asia Barat, menurut kenyataan itu.

"Baerhock juga akan membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, menunjukkan keutamaan yang diberikan oleh kedua-dua negara kepada dialog diplomatik pada peringkat tertinggi," menurut kenyataan itu.

Beliau juga dijadualkan untuk berinteraksi dengan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tempatan semasa lawatannya ke Putrajaya.

Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di kalangan negara-negara anggota EU sejak tahun 2000, manakala Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Jerman di kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Angka perdagangan menunjukkan hubungan yang kukuh, dengan perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 7.2 peratus kepada RM58.37 bilion (US$12.81 bilion) dari Januari hingga November 2023 berbanding dengan tempoh yang sepadan pada tahun 2022.

TETITIA YUSOFF