fb fb fb fb fb

Menteri Luar Denmark lawat Malaysia mulai hari ini

Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen / FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 10 Disember- Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.

Ia merupakan lawatan pertama Rasmussen ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Luar Negeri Disember 2022.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan Rasmussen dijadualkan melakukan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Denmark.

Kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan peluang-peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang, terutamanya peralihan hijau, ekonomi kitaran dan kerjasama kesihatan.

Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan peranan Denmark sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu 2025-2026 turut dijangka dibincangkan selain isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Rasmussen juga dijadualkan menghadiri majlis resepsi sempena pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark di Kuala Lumpur.

Di antara bulan Januari dan Oktober 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Denmark meningkat sebanyak 12.9 peratus kepada 2.19 bilion ringgit berbanding tempoh sama pada tahun 2023.

Malaysia juga menempatkan lebih 100 syarikat dari Denmark dengan nilai pelaburan melebihi 2.2 billion ringgit dalam bidang pembuatan sehingga Jun 2024 yang mewujudkan 5,024 peluang pekerjaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE