KUALA LUMPUR, 30 November- Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil Terengganu semalam.
"Tidak ada perkara yang lebih menyedihkan daripada kehilangan insan yang tersayang.
"Siri hujan lebat pada musim Monsun Timur Laut kali ini menyebabkan banyak negeri dilanda banjir, serta kejadian jalan atau tanah runtuh dan mendap, malah sudah ada nyawa yang terkorban.
"Terbaharu adalah kejadian dua beradik maut, manakala seorang lagi cedera apabila kediaman mereka di Kampung Bukit Apit di Ajil, Terengganu, dihempap tanah runtuh petang semalam", katanya.
Beliau menerusi hantaran di Facebook berkata, kementeriannya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedia menawarkan khidmat kepakaran kepada jabatan atau agensi lain yang memerlukan.
Beliau turut dimaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian, termasuk kawasan sekitar tempat kejadian masih selamat diduduki, atau sebaliknya.
JKR akan terus menilai situasi semasa dan menjalankan siasatan lanjut terutama membabitkan struktur jalan serta tahap kekuatan tanah yang terjejas.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak, supaya mematuhi arahan pihak berkuasa selain memberi perhatian kepada perubahan cuaca serta bentuk muka bumi, bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
"Marilah kita bersama-sama menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat dalam menghadapi tempoh-tempoh sukar ini", katanya.
Dalam insiden tanah runtuh petang semalam, dua beradik, Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya Siti Fatimah, 13, ditemui meninggal dunia selepas terperangkap dalam bahagian rumah mereka yang runtuh.